5/28/07

ARTIKELKU

Apakah HIV?
________________________________________
HIV adalah singkatan daripada Human Immunodeficiency Virus, iaitu sejenis virus yang bertindak dengan melemahkan dan memusnahkan sistem daya tahan badan manusia. Virus HIV telah dikenalpasti sebagai virus yang menyebabkan AIDS.
Apakah AIDS dan apakah yang menyebabkan AIDS?
________________________________________
AIDS merujuk kepada kumpulan penyakit-penyakit yang dihidapi oleh orang-orang yang dijangkiti virus HIV, akibat sistem daya tahan badan mereka yang telah lemah atau musnah:
• Acquired = Diperolehi dengan melakukan sesuatu, yakni bukan semulajadi.
• Immune = Merujuk kepada sistem daya tahan badan
• Deficiency = Kekurangan atau kelemahan. Dengan itu, immunodeficiency bermakna sistem daya tahan yang telah lemah dan kurang berupaya melawan penyakit yang biasanya mudah dihapuskan
• Syndrome = Merujuk kepada sesuatu yang keadaan, gejala atau tanda.
Sistem daya tahan badan seseorang yang telah dijangkiti oleh virus HIV boleh menjadi begitu lemah, sehingga ia tidak dapat melawan anasir-anasir yang mengganggu sistem badannya, sekalipun penyakit-penyakit tadi biasanya ringan dan senang disembuh.

Bagaimanakah HIV merebak?
________________________________________
HIV hanya boleh merebak apabila ia memasuki saluran darah seseorang. Terdapat tiga cara utama:
1. Melalui hubungan seks dengan seorang yang berjangkit, yakni di mana berlaku pemindahan cecair badan seperti mani, mazi, bendalir faraj atau darah dari tubuh seseorang ke tubuh seseorang yang lain.
2. Melalui darah yang telah dijangkiti HIV, umpamanya menggunakan jarum suntikan yang tidak steril, pemindahan darah atau organ-organ badan.
3. Dari ibu yang telah dijangkiti HIV kepada anaknya semasa kehamilan, kelahiran atau penyusuan
Jangkitan HIV tidak seperti virus selsema. Ia tidak boleh berjangkit melalui udara. Anda tidak perlu khuatir yang anda akan dijangkiti kuman HIV melalui pergaulan biasa dengan penghidap HIV, umpamanya dengan berjabat tangan, berkongsi makanan, ataupun menggunakan pinggan mangkuk serta sudu dan garpu yang sama. HIV juga tidak merebak akibat berenang di kolam awam, menggunakan mangkuk tandas yang sama, berkongsi telefon atau memegang tombol pintu, ataupun kerana digigit nyamuk.
Virus HIV hanya boleh hidup dalam tubuh manusia. Ia akan mati sebaik sahaja ia terdedah kepada udara.
Walau demikian, HIV sebenarnya tidak mengenal sasarannya. HIV tidak hanya menjangkiti golongan-golongan tertentu, seperti pengguna dadah, pekerja seks dan mereka yang mengamalkan seks bebas. Anda juga boleh terdedah kepada jangkitan HIV jika anda tidak berwaspada. Yang pasti, sesiapa yang kurang berpengetahuan akan terdedah kepada risiko jangkitan.

Apakah tanda-tanda jangkitan HIV?
________________________________________
Peringkat awal jangkitan HIV biasanya tidak menunjukkan sebarang tanda. Seseorang itu boleh kelihatan sihat dan berasa sihat walaupun dia telah dijangkiti HIV. Keadaan ini mungkin mengambil masa berbulan-bulan hingga bertahun-tahun. Keadaan ini amat merbahaya kerana virus yang terselindung itu sebenarnya boleh menjangkiti orang lain.
Salah satu cara untuk mengetahui bahawa seseorang itu telah dijangkiti HIV adalah dengan menjalani ujian darah HIV, yakni ujian darah bagi mengesan kehadiran antibodi HIV di dalam tubuh kita.
Sesiapa yang pernah terlibat dengan tingkahlaku yang berisiko tinggi perlu menjalani ujian darah HIV. Ini termasuk mereka yang pernah mengadakan hubungan seks tanpa menggunakan kondom, pernah berkongsi jarum suntikan atau pernah menjalani pemindahan darah atau pemindahan organ di luar negeri.
Jika anda punyai pasangan dan jika pasangan anda bersetuju, adalah baik untuk anda mengambil ujian darah HIV bersama-sama.
Kumpulan Bertindak AIDS Singapura menjalankan ujian dan kaunseling HIV tanpa nama di:
Klinik DSC
Blk 31 Kelantan Lane S(200031)
Setiap hari Rabu, 6.30 petang - 8.30 malam
Setiap hari Sabtu, 1.00 petang - 4.00 petang
Keputusan ujian darah HIV secara haemastrip ini boleh diperolehi dalam masa 15 hingga 30 minit.
Sekiranya anda disahkan negatif-HIV (yakni disahkan tidak dijangkiti HIV selepas dua atau tiga kali ujian berkala), anda tidak perlu rasa bimbang.
Sekiranya ujian tersebut menunjukkan keputusan positif, kaunselor atau doktor anda akan memberi nasihat lanjut, agar anda boleh mendapatkan rawatan segera.

Bagaimanakah dapat saya mengurangi risiko dijangkiti HIV?
________________________________________
Anda boleh menjaga diri sendiri dan orang-orang kesayangan anda dari serangan HIV dengan beberapa cara:
• Hubungan seksual hanya dengan pasangan bernikah anda, dan menghindarkan hubungan seksual di luar nikah
• Jauhi hubungan seksual secara sodomi (melalui lubang dubur)
• Jauhi hubungan seksual bila sedang mengalami luka pada alat kelamin dan hindarkan penggunaan alat-alat tertentu saat berhubungan seksual yang mungkin akan menimbulkan luka
• Jauhi penyalahgunaan dadah, terutama sekali melalui suntikan berkongsi
• Jangan gunakan pisau cukur, gunting kuku atau sikat milik orang lain, kerana alat-alat tersebut mungkin mengandung butir-butir darah penghidap HIV
• Mengadakan pemeriksaan darah untuk mengetahui samada anda mengidap HIV atau tidak
• Mendidik dan membimbing orang-orang kesayangan anda tentang penyakit HIV
________________________________________
Untuk maklumat lanjut, sila hubungi Kumpulan Bertindak AIDS di talian 6254-0212 atau e-mel afa@pacific.net.sg.
"Menimba ilmu adalah kewajiban atas setiap Muslim."
~ Hadith Rasullulah, diriwayatkan oleh Anas r.a.

No comments: